Golongan muda kurang prihatin kepentingan kesihatan
KUALA LUMPUR: Kebanyakan warga kota terutamanya golongan muda kurang prihatin akan kepentingan kesihatan, terutamanya pengawalan kadar pengambilan gula di dalam sajian.
Walaupun banyak pesanan dan nasihat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan keburukan pengambilan gula yang tinggi, ia masih kurang efektif dan mereka tidak menghiraukan kesan sampingannya.
Seorang guru sekolah menengah di sini, Muniammiah S Saminathan, 49, berkata masyarakat kurang sedar dan tidak memandang serius dalam pengambilan gula walaupun terdapat banyak iklan dan pesanan masyarakat akan isu tersebut.
"Kebanyakan orang muda kurang mengambil perhatian akan masalah ini dan menganggap ianya remeh dan bertanggapan jangka usia mereka tidak senang dihidapi penyakit yang berkaitan seperti kencing manis dan sebagainya," katanya.
KKM di dalam laporan sebuah akhbar hari ini mencadangkan agar kadar pengambilan gula dihadkan kepada lapan gram per 100 mililiter.
Cadangan tersebut dibuat selepas kajian yang dijalankan terhadap jumlah kandungan gula dalam minuman kegemaran rakyat Malaysia iaitu teh tarik, melebihi daripada apa yang telah disarankan.
Berdasarkan kajian tersebut, KKM menyarankan rakyat bertukar kepada teh tarik kurang manis untuk mengurangkan jumlah penghidap diabetes di Malaysia.
Sultan Ahmad, 46, warganegara Pakistan berkata beliau sering meminum tiga hingga empat gelas teh tarik sehari.
"Teh tarik adalah antara minuman kegemaran saya dan saya sering memesan agar kandungan gula di dalam minuman ini dikurangkan, mungkin separuh sudu," katanya ketika ditemui di sebuah restoran di sini.
Beliau menyedari kesan buruk pengambilan gula yang tinggi dan mengamalkan minum air kosong dalam kuantiti yang banyak.
Katanya generasi muda mesti menjaga pemakanan dan elak daripada mengambil minuman yang mengandungi kandungan gula yang tinggi dan berkarbonat.
Golongan muda tidak menyedari bahawa penyakit seperti diabetes yang berpunca daripada pengambilan gula yang berlebihan, juga boleh dihidap pada usia muda sekiranya tidak dikawal.
Sementara itu, Norizan Daud, 57, seorang guru sekolah menengah di sini, berkata kadar gula di kalangan masyarakat Malaysia adalah tinggi dan berpunca daripada pengambilan makanan yang tidak seimbang.
Dalam laporan yang sama KKM turut menyatakan bahawa kes kolestrol tinggi meningkat daripada 20.7 peratus pada tahun 2006 kepada 35.1 peratus pada tahun lalu.
"Dengan keadaan sekarang di mana ibu bapa yang bekerja, mereka tidak mampu untuk menyediakan makanan berkhasiat untuk keluarga," katanya.
Norizan berkata ini mengakibatkan ibu bapa memberi wang untuk anak-anak mereka membeli makanan, sebaliknya mereka memilih membeli makanan yang tidak berkhasiat yang mengakibatkan peningkatan kadar gula dan kolestrol. - Bernama