JKM lulus RM300
Oleh Malik Muhamad
[email protected]
KUALA TERENGGANU: Penderitaan Iman Adam Raman, 8, yang koma sejak tujuh bulan lalu akibat menjadi mangsa langgar lari penunggang motosikal dipercayai Mat Rempit mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu yang tampil menghulurkan bantuan.
Pegawai JKM Daerah Kuala Terengganu, Ayob Othman berkata, pihaknya yang berkunjung ke rumah Iman, semalam dan bersetuju meluluskan bantuan RM300 sebulan kepada keluarga kanak-kanak malang itu bagi meringankan kos ditanggung untuk menguruskan kehidupannya.
“Kami dapati Iman hanya terlantar dan tidak mampu bergerak kerana kecederaan serius di kepala dan anggota badan lain.
“Kami amat bersimpati dengan nasib menimpanya dan bantuan RM300 sebulan itu diberikan melalui kategori pesakit terlantar bermula bulan ini sehingga dia sembuh,” katanya.
Harian Metro semalam menyiarkan laporan Iman Adam yang hanya mampu membuka mata, tetapi tidak boleh melihat selain lumpuh kerana otaknya tidak berfungsi berikutan koma tahap dua akibat dirempuh seorang penunggang motosikal ketika mengikut bapanya membeli peralatan sekolah di sebuah kedai alat tulis berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Manir, Kampung Kubang Jela, di sini, 2 Mei lalu.
Menurutnya ibunya, Nik Ainy Mohd, 51, Iman kadangkala memberi sedikit rangsangan dengan menggerakkan kepala apabila disentuh dan doktor memberitahu keadaan anaknya itu kemungkinan kekal.
“Saya bersyukur kerana JKM sudi menghulurkan bantuan selepas kisah Iman disiarkan Harian Metro.
“Sebelum ini saya hanya mengharapkan gaji suami sebagai renjer Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu untuk menampung ubat dan peralatan Iman termasuk lampin pakai buang dan susu berjumlah RM1,800 sebulan,” katanya.